Saturday 17 September 2011

UTM mendominasi PECIPTA 2011 mendahului Universiti Penyelidikan lain

KUALA LUMPUR, 16 September: – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mendominasi  Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2011 apabila memenangi emas terbanyak di pameran selama tiga hari yang berakhir semalam.
Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, pencapaian cemerlang UTM memenangi sembilan pingat emas pada tahun ini mengulangi kejayaan tahun 2009 apabila memenangi emas terbanyak bersama Universiti Malaya (UM).
PECIPTA yang diadakan setiap dua tahun sekali merupakan ekspo inovasi yang terbesar dan berprestij di negara ini kerana disertai oleh semua institusi pengajian tinggi awam.
PECIPTA dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan tuan rumah dipilih di kalangan unversiti awam.
Pada tahun ini PECIPTA disertai oleh 24 institusi pengajian tinggi awam dan swasta membabitkan lebh 450 produk.
Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan UTM ialah semua produk yang dipamerkan adalah produk baru yang belum pernah menyertai sebarang pertandingan dan telah diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi.
Selain itu, produk berkenaan mempunyai pelan perancangan perniagaan dan telah mendapat perlindungan harta intelek.
Dua penyelidik UTM Profesor Dr Noor Aini Abd Rashid dan Prof Madya Dr Mohamad Kamal A Rahim masing-masing memenangi dua ingat emas.
Penyelidik yang turut memenangi pingat emas ialah Prof Dr Azman Hassan, Dr Mohd Ridzuan Ahmad, Prof Madya Ir Dr Shahrul Kamal Abdul Rahim, Mailin Mison dan Profesor Dr Naomie Salim.
Mailin yang bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Institut Pembangunan Bioproduk menghasilkan coklat minyak kelapa dara yang kaya dengan antioksida.
Coklat yang dihasilkannya menyediakan keperluan nutrisi harian untuk tubuh bagi meningkatkan sistem ketahanan badan untuk mencegah serangan penyakit.