Bilangan biasiswa yang akan ditawarkan pada tahun ini adalah sebanyak 12 tempat iaitu enam (6) untuk peringkat PhD dan enam (6) untuk peringkat Sarjana untuk calon mengikuti pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi dan Undang-undang.
Tujuan utama biasiswa ini adalah untuk mengiktiraf kebolehan amat cemerlang seseorang calon dengan memberi peluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, program ini merupakan satu bentuk pelaburan Pembangunan Modal Insan yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.
Keutamaan adalah kepada calon yang mendapat keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda/ Sarjana dan mempunyai keupayaan yang luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif, serta mendapat tempat di universiti ulung tempatan atau di universiti terkemuka di dunia. Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temuduga.
- Syarat-syarat kelayakan secara khusus adalah seperti berikut: Warganegara Malaysia;
- Berumur tidak melebihi 30 tahun pada tahun memulakan pengajian;
- Memiliki Ijazah Sarjana Muda/ Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan pencapaian CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya;
- Aktif dalam kegiatan ko-kurikulum atau aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif;
- Mahir dalam lebih daripada satu bahasa antarabangsa; dan
- Mendapat tempat pengajian di universiti ulung tempatan atau di universiti terkemuka di dunia.
Selain itu, pakej tawaran Biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding Biasiswa Persekutuan yang sedia ada. Sebagai contoh, kadar Elaun Sara Hidup (ESH) bulanan adalah seperti berikut:
NEGARA | KADAR ESH BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG | KADAR ESH BIASISWA PERSEKUTUAN |
Amerika Syarikat . | USD 1,923.00 | USD 1,282.00 |
United Kingdom | £ 1,639.50 | £ 1,093.00 |
Australia | AUD 2,070.00 | AUD 1,380.00 |
New Zealand | NZD 2,174.00 | NZD 1,449.00 |
Malaysia | RM 1,760.00 (Sarjana) RM 2,500.00 (Ph.D) | RM 900.00 (Sarjana Ph.D) |
Permohonan boleh dibuat dengan mengisi Borang Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2012 secara dalam talian (on-line) melalui portal www.jpa.gov.my atau http://esilav2.jpa.gov.my mulai 27 Jun 2012. Tarikh tutup permohonan adalah pada 13 Julai 2012.
Maklumat penawaran juga boleh diperolehi dengan melayari portal tersebut atau menghubungi hotline 03-88853414/ 3546/ 3573 atau dengan mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 3, Blok C1, Kompleks C, Jabatan Perkhidmatan Awam dari jam 8.00 pagi – 1.00 tengahari dan 2.00 petang - 5.00 petang.
Khairudin Bin Haji Abdullah
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
25 Jun 2012