Wednesday, 14 September 2011

HP sedia latihan, peluang pekerjaan untuk pelajar UiTM, IPT (Sumber Dari Berita Harian)

GRADUAN bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini mempunyai peluang meneroka peluang pekerjaan sebagai penguji perisian menerusi latihan khusus disediakan syarikat perisian Hewlett-Packard (HP).
Syarikat berkenaan sudah menjalankan dua latihan sejak dua tahun lalu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bercadang memperluas latihan ke beberapa universiti tempatan.
Latihan pertama pada 2009 khusus untuk 93 pelajar tahun akhir di Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) manakala kumpulan kedua seramai 80 pelajar fakulti sama baru menamatkan latihan masing-masing bulan lalu.

Ketua Unit Penyelidikan dan Hubungan Industri FSKM, Prof Dr Isahak Kassim, berkata latihan selama lapan minggu itu diberikan percuma kepada pelajar tahun akhir sebagai persediaan sebelum memasuki pasaran kerja.

Katanya, pelajar didedahkan dengan kemahiran menggunakan aplikasi khas yang dibangunkan HP untuk menguji perisian baru yang masih belum dipasarkan.

“Sebelum ini, tidak ramai graduan ICT yang mahir menggunakan aplikasi untuk menguji perisian baru dan syarikat terpaksa mengambil pakar dari luar negara.
“Menerusi kerjasama pintar HP dan Technology Education Leader (TEL), UiTM berjaya melahirkan lebih 170 graduan berkemahiran menguji perisian baru,” katanya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Majlis penyampaian sijil kepada 80 pelajar kumpulan kedua latihan berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Institusi Pengajian Tinggi Awam), Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dr Morshidi Sirat.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Perisian HP, Yeow Cheng Lian, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UiTM, Prof Dr Azni Zain Ahmed, Pengerusi TEL, Datuk Ibrahim Thambychik dan Ketua Pegawai Eksekutif TEL, Datin Zaharah Jelani.

Zaharah berkata, kumpulan ketiga pelajar tahun akhir FSKM UiTM akan mengikuti latihan sama tahun depan.

Katanya, beberapa lagi universiti awam seperti Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan politeknik juga menunjukkan minat mendedahkan pelajar tahun akhir ICT mereka dengan latihan aplikasi menguji perisian itu.

Beliau berkata, latihan itu akan diperluas ke institusi lain selepas mendapat geran daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

No comments:

Post a Comment