Tuesday 9 August 2011

3,474 Akan Terima Biasiswa "Mybrain15"

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -- Sebanyak 3,474 pelajar yang layak telah diluluskan untuk menerima biasiswa bagi pengajian lepasan ijazah pada tahun ini di bawah program "MyBrain15".

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata mereka ialah antara 6,874 pemohon bagi dua skim di bawah MyBrain15, iaitu Program Tajaan bagi ijazah kedoktoran dalam negara (MyPhD) dan Program Tajaan bagi ijazah Sarjana dalam negara (MyMaster).

"Sasaran tahun ini bagi 650 penerima untuk MyPhD telah mendapat sambutan luar jangkaan, dengan kira-kira 1,200 permohonan diterima. Setakat ini, 672 telah diluluskan, lebih tinggi daripada jumlah yang diperuntukkan bagi tahun ini," katanya pada majlis Anugerah Biasiswa Pendidikan Tinggi akhbar The Sun dan Persatuan Kolej-kolej dan Universiti-universiti Swasta Malaysia (MAPCU) di sini hari ini.

Setiap penerima akan menerima maksimum RM24,000 bagi yuran tuisyen tanpa mengira pengajian dilakukan di institusi pengajian tinggi awam atau swasta. Sebanyak RM5,000 lagi diberikan sebagai elaun jurnal dan tesis.

Bagi skim MyMaster, Dr Hou berkata daripada 8,000 biasiswa ditawarkan tahun ini, sebanyak 2,802 diluluskan daripada sejumlah 5,674 permohonan yang diterima, berikutan proses pemilihan lebih ketat.

Dr Hou berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) bagi program itu untuk mencapai objektif mengeluarkan 60,000 pemegang PhD menjelang 2020.

"Malaysia memerlukan para intelektual berpengetahuan tinggi untuk memacu pertumbuhan penyelidikan dan inovasi untuk berjaya menjadi sebuah negara berpendapat tinggi yang dipacu inovasi," katanya.

Selain MyMaster dan MyPhD, dua lagi skim di bawah Mybrain15 ialah Program PhD Perindustrian dan Program Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (SLAI).

Pada majlis itu, 41 pelajar menerima biasiswa bernilai RM4.5 juta yang diikrarkan oleh 16 kolej dan universiti swasta.

No comments:

Post a Comment