SHAH ALAM - Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin baru-baru ini supaya kajian semula gred gaji pensyarah dilakukan
bagi memberi imbuhan kepada golongan itu disifatkan satu langkah bijak.
Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) Skudai, Profesor Madya Dr Aminuddin Ruskam Al Dawamy berkata,
terdapat pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang masih
belum menerima kenaikan gred gaji walaupun sudah lama berkhidmat.
“Sebenarnya, masih ada pensyarah yang sudah lama berkhidmat tetapi gred gaji di takuk permulaan iaitu DS45.
“Malah, sebelum ini ada juga pensyarah yang bersara dengan gred itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Akademik UiTM (UTiMAS), Profesor Dr
Mohamad Awang berkata, pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu dilihat
sebagai langkah memulihkan profesion pensyarah di IPT.
“Kedua-dua kumpulan profesion ini perlu dihormati, baik guru mahupun
pensyarah kerana mereka mendidik anak bangsa menjadi insan berguna,”
katanya.
Mengulas isu sama, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain
berkata, gaji pensyarah di Malaysia agak kecil berbanding gaji pensyarah
di luar negara.
“Sebagai contoh, gaji pensyarah di negara jiran seperti Singapura
sekitar RM8,000 sebulan, manakala gaji pensyarah baru di sini hanya
sekitar RM4,000,” katanya.
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman pula berkata, pihaknya telah syorkan
kepada kerajaan mengenai skim gaji pensyarah seperti diumumkan Muhyiddin
baru-baru ini.
“Sewaktu ‘task force’ (pasukan petugas) mengenai kajian semula sistem
Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kita ada syorkan supaya gred gaji
pensyarah ini dikaji semula.
“Ada pensyarah yang lama mengajar dan baru dapat doktor falsafah (PhD)
tetapi gred gajinya tak naik sedangkan yang tiada PhD boleh naik hingga
ke gred C,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasion...-bijak-1.49593
No comments:
Post a Comment